Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 NOVEMBER 2024: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan platform pendidikan dalam talian GNIUS dan peranti mudah alih kepada pelajar terpilih negeri ini.
Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis pengurniaan berkenaan diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Paduka Baginda turut diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Seramai 434 orang pelajar terpilih terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Ugama Majlis (SMUM), Akademi YASA-MUIP, Kelas Akademi Kecemerlangan Anak Asnaf (AKAF) dan Maahad Tahfiz serta Pondok di sekitar negeri Pahang menerima manfaat dari kurniaan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato’ Ahmad Hairi Hussain dalam persembahan ucapannya berkata, sejumlah RM330,000 dana wakalah diperuntukkan di mana dana berkenaan telah dibiayai oleh Syarikat Ivory Task Holdings Sdn. Bhd. yang dipengerusikan oleh Raja Dato’ Sri Mufik Affandi Raja Khalid.
Katanya, pemberian peranti berkenaaan merupakan langkah signifikan MUIP bagi mencerminkan usaha berterusan dalam mempertingkatkan pendidikan di negeri ini, khususnya bagi anak asnaf dan golongan yang memerlukan.

“Dalam konteks pendidikan yang semakin mencabar, adalah menjadi tanggungjawab Majlis untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan, mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.
“Hal ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan, tetapi juga komitmen dalam menjadikan pendidikan sebagai alat pemangkin perubahan sosial,” katanya ketika menyampaikan persembahan ucapan bersempena Majlis Pengurniaan Platform GNIUS Dan Tablet kepada Pelajar SMUM dan Anak Asnaf Pahang yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu memaklumkan sehingga September tahun ini, MUIP telah memperuntukkan sejumlah RM27.3 juta dalam sektor pendidikan bagi manfaat anak-anak asnaf Pahang.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak RM20.5 juta diperuntukkan untuk skim bantuan dermasiswa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan RM5 juta bagi bantuan awal IPT.
Selain itu katanya, sebanyak RM878,125 diperuntukkan bagi Sumbangan Bantuan Am Pendidikan kepada 26 Surau Sekolah Rendah dan Menengah, RM245,085 bagi Bantuan Am Pendidikan kepada 54 buah Sekolah Agama Rakyat serta Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), RM259,000 bagi Bantuan Am Pendidikan kepada empat buah sekolah SMUM dan RM326,200 telah diagihkan kepada 119 pelajar dari kalangan anak penerima bulanan asnaf fakir Miskin Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam.
“Majlis juga telah membelanjakan sejumlah RM96,000 bagi bantuan komputer riba kepada 38 anak-anak asnaf untuk memenuhi keperluan pembelajaran di universiti awam dan sebanyak RM320,325 telah diagihkan kepada 33 Pondok dan Madrasah dalam usaha Majlis meningkatkan kualiti pendidikan Pondok,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai GNIUS boleh layari https://gnius.my/ . – PAHANGMEDIA

