Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 NOVEMBER 2024 : 21 pasar tani mingguan termasuk lima pasar tani kekal di seluruh negeri ini akan menggunakan urusan pembayaran tanpa tunai secara berperingkat.
Menurut Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, Encik Saiful Sadri, pembayaran tanpa tunai di pasar tani di negeri ini telah dilakukan pihaknya sejak Januari lalu.
“Peralihan kepada transaksi urus niaga tanpa tunai dapat menjimatkan masa, selain lebih selamat dan seiring dengan peredaran masa kini.
“Pelanggan boleh membuat bayaran secara dalam talian menggunakan aplikasi kod QR yang disediakan setiap peniaga, di mana kaedah pembayaran tanpa tunai ini menjadi pilihan kerana ia lebih mudah, cepat serta lebih selamat.
“Peniaga juga dapat menyemak rekod yang tepat dan mudah diakses untuk pengurusan kewangan dan pelaporan walaupun peniaga tidak dapat melihat wang secara tunai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadian Program Go Cashless@Pasar Tani Daerah Kuantan di Dewan Seri Seroja Fama Pahang.
Menurut beliau, pihaknya berharap ramai lagi peniaga di pasar tani mingguan mahupun pasar tani kekal akan beralih kepada transaksi perniagaan tanpa tunai.
“Fama akan menyediakan pelbagai kemudahan kepada peniaga yang menggunakan urus niaga pembayaran tanpa tunai sebagai galakan pada golongan berkenaan.
“Kini terdapat lebih 1,200 peniaga yang menjalankan perniagaan di 21 pasar tani mingguan termasuk lima pasar tani kekal di Felda Chini dan Bandar Pekan, Jengka, Bandar Jerantut dan Bera.
“Dua pasar tani kekal di Kuala Lipis dan Cameron Highlands apabila siap sepenuhnya nanti, menjadikan tujuh pasar tani kekal di Pahang, dan dijangka lebih ramai pengguna akan berkunjung ke pasar tani yang menawarkan harga berpatutan dan segar,” katanya.
Beliau tidak menolak untuk menambah jumlah pasar tani mingguan di negeri ini sekiranya mempunyai permintaan daripada masyarakat setempat. -PAHANGMEDIA

