Oleh: Norhafizan Zulkifli
MARAN, 27 OKTOBER 2024: Kerajaan Negeri Pahang telah menubuhkan pusat latihan Muay Thai bagi negeri ini justeru menggalakkan lebih ramai anak muda di negeri ini menyertai sukan terbabit.
Pusat latihan yang menelan belanja sebanyak RM150,000 melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) itu berpusat di Jerantut dan dilengkapi kemudahan bagi kegunaan atlet.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, berkata sukan Muay Thai dilihat mampu menyatupadukan rakyat negeri ini dan negera secara keseluruhannya.

“Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, sekarang Kerajaan Negeri Pahang telah pun menubuhkan pusat Muay Thai di peringkat negeri iaitu di Jerantut.
“Jadi saya gesa anak-anak muda yang kental jiwanya untuk bersama-sama dalam sukan ini kerana kita tengok pada malam ini sukan Muay Thai ini menyatupadukan rakyat di seluruh negeri Pahang dan juga di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Jengka International Muay Thai Fight 2024 mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di Stadium Tun Abdul Razak Jengka malam tadi.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang, Puan Zirwatul Ahlam Zamzam.
Tambahnya lagi, sukan Muay Thai juga mampu menggalakkan rakyat menjalankan aktiviti sihat dan bersukan sekali gus membentuk ketahanan dan jati diri khususnya dalam kalangan anak muda.
“Jadi Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong sukan Muay Thai ini di mana jua ia diadakan.
“Akhirnya saya ucap terima kasih sekali lagi kepada penganjur kerana membawa Muay Thai ini di Jengka ini,” katanya.
Dalam pada itu dianggarkan sekitar 15,000 pengunjung hadir ke Karnival Jengka Muay Thai Fight 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula Rabu dan berakhir semalam.
Kejohanan anjuran Triple 9 Event Management Resources itu menyaksikan 18 petinju dari sembilan kelab tempatan dan luar negara seperti Thailand, Ukraine dan Afghanistan.
Tumpuan utama iaitu jaguh Muay Thai negara dan bintang One Championship, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar,18 atau lebih dikenali dengan panggilan Jojo yang mewakili Kelab Burung Antu Muaythai Gym 999 di Temerloh telah berjaya meraih tali pinggang kejohanan tersebut mengalahkan lawannya Mohd Haiqal Mat Nor,22, dari Black Tiger Muaythai Gym Kelantan.-PAHANGMEDIA

