Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 OKTOBER 2024 : Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) mencatatkan peningkatan sebanyak 62 peratus bagi peminjaman buku setakat September 2024 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, ini menunjukkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum pudar.

“Walaupun Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang menuju ke era digitalisasi, buku masih lagi menjadi pilihan dan relevan dalam kalangan masyarakat. Menurut statistik, Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang mencatatkan peningkatan 62 peratus bagi peminjaman buku untuk tempoh sehingga September 2024 berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
“Dengan statistik ini, dapat disimpulkan bahawa minat membaca rakyat Malaysia masih belum pudar. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan momentum sayang, cinta, dan minat terhadap buku akan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Pesta Buku Pahang 2024 di Berjaya Megamall.

Turut hadir, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man; dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, YBhg. Puan Nor Zahira Muhammad Azmi.
Menurut beliau, Pesta Buku Pahang 2024 turut memudahkan pengunjung mendapatkan pelabagai buku yang sukar didapati dan mereka dapat membeli buku dengan harga yang lebih murah.
“Melalui Pesta Buku Pahang, ianya menyediakan ruang kepada penerbit, pengedar dan penulis bagi memperkenalkan karya Pesta Buku Pahang 2024 mereka kepada khalayak.
“Untuk kalangan pengunjung pula, Pesta Buku Pahang memberi peluang kepada mereka untuk membeli dan memiliki buku-buku dengan harga yang lebih murah termasuklah memperoleh pelbagai buku yang sukar didapati di pasaran biasa,” katanya. -PAHANGMEDIA

