Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang menawarkan pelbagai kemudahan infrastruktur dan kedudukan lokasi yang strategik di Gebeng, Kuantan bagi membangunkan industri halal di Pahang termasuklah taman perindustrian halal, hab logistik halal dan pelabuhan pematuhan halal.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan lokasi seluas kira-kira 750 ekar di Gebeng selepas Hab Halal Gambang yang berkeluasan 68.4 hektar dan Hab Halal Bentong dengan 14.7 hektar.

Jelasnya, kewujudan Hab Halal Gambang di Kuantan akan dapat menyokong mempercepat pembangunan hab halal di Gebeng.
“Hab halal Gambang akan membantu mempercepatkan proses kedatangan pelabur-pelabur dalam industri halal di samping Gambang kita juga ada di Gebeng dan kerajaan persekutuan telah memberi peruntukan RM63.4 juta untuk kemudahan infrastruktur dan telah pun kita gunakan peruntukan itu semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Majlis Peluncuran Program Halal On Track @Pahang Darul Makmur yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, ketika ini di Gebeng terdapat industri dan kemudahan asas yang dapat menyokong kepada perkembangan industri halal di kawasan berkenaan selain menawarkan kedudukan yang strategik turut menjadi tarikan kepada para pelabur dari Negara China.
Halal On Track (HOT) kini memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak dilaksanakan pada 2023 dan Pahang merupakan negeri ketiga menjalin kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selepas Kuala Lumpur dan Johor.
Program ini antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna, meningkatkan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), meningkatkan kesegeraan pensijilan halal dan meningkatkan kesetiaan industri kepada pensijilan halal.
Hot@Pahang menyasarkan penglibatan seramai 1,500 usahawan terdiri daripada pelbagai kategori industri iaitu mikro, kecil, sederhana dan multinasional dengan membabitkan beberapa agensi, institusi dan kementerian berkaitan bagi pembangunan usahawan halal.-PAHANGMEDIA

