Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 OKTOBER 2024 : Kemudahan infrastruktur yang lengkap di kawasan perindustrian di Gebeng, Kuantan menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur dari China yang ingin melabur di negara ini dalam industri halal.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini Pahang telah menyediakan lokasi kira-kira seluas 750 ekar di Gebeng bagi mengembangkan industri halal di negeri itu.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan akan memberikan bantuan dan sokongan kepada Kerajaan Negeri agar hasrat melaksanakan industri halal di Pahang dapat dilaksanakan.
“Dan tentunya saya akan membantu dan saya telah bertemu dengan bakal-bakal pelabur ini dan MB juga telah bertemu, dan dalam waktu terdekat sebelum akhir tahun ini mereka akan datang bertemu dengan saya sekali lagi dan saya akan jemput mereka melihat sendiri lokasi untuk mereka memilih kawasan yang telah ditentukan oleh Kerajaan Negeri.
“Pertolongan saya adalah pertolongan secara rasmi daripada kerajaan pusat dengan kerajaan negeri untuk membantu Negeri Pahang dan negeri-negeri lain tentunya bagi pelabur-pelabur ini yang membina kilang dan kemudahan-kemudahan untuk kawasan industri yang didedikasikan untuk industri halal ini.

“Tetapi mereka (pelabur) lebih tertarik di Gebeng, Pahang dan juga Lekir di Perak serta di Johor, di negeri lain mereka melihat masalah pelabuhan, masalah airport, masalah infrastruktur, jadi yang telah ada infrastruktur di Pahang dan Perak sekarang ini sedang membina infrastruktur, Johor telah siap infrastruktur tetapi kawasannya stated, Pahang ni satu tempat, itu beza dia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Halal On Track @Pahang Darul Makmur yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB. Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Halal On Track (HOT) kini memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak dilaksanakan pada 2023 dan Pahang merupakan negeri ketiga menjalin kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selepas Kuala Lumpur dan Johor.
Program ini antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna, meningkatkan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), meningkatkan kesegeraan pensijilan halal dan meningkatkan kesetiaan industri kepada pensijilan halal.
Hot@Pahang menyasarkan penglibatan seramai 1,500 usahawan terdiri daripada pelbagai kategori industri iaitu mikro, kecil, sederhana dan multinasional dengan membabitkan beberapa agensi, institusi dan kementerian berkaitan bagi pembangunan usahawan halal.
JAKIM dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyeru usahawan Pahang agar mendapatkan bimbingan pensijilan halal secara terus daripada pihak berkuasa. -PAHANGMEDIA

