Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mempunyai pelbagai inisiatif dalam usaha mengalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang sains, teknologi dan kejuruteraan (STEM) bagi membudayakan inovasi di arus perdana.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, Kerajaan Negeri turut menyokong penuh aktiviti seperti pertandingan robotik dianjurkan di peringkat sekolah.

“Kita menggalakkan pertandingan inovasi itu satu. Kedua, kita menyokong penuh aktiviti-aktiviti seperti pertandingan robotik di sekolah-sekolah untuk menggalakkan sekolah-sekolah mengadakan kelab robotik.
“Malah kerajaan ada salurkan bantuan kepada sekolah-sekolah untuk membeli kit robotik sebagai contoh kit robotik tracer,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Inovasi sempena Pahang Teknlogi Revolusi Expo (PahangTrex) x MDEC Jelajah Saya Digital di Berjaya Megamall, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Pegawai Eksekutif Pahang Go, Encik Affandi bin Mohd Isa dan Ketua Bahagian Pengurusan Acara MDEC, Puan Noorazimah Halal.

Pertandingan di bawah program anjuran Pahang Go dengan kolaborasi bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu menyaksikan penyertaan 30 peserta terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh Pahang.
Sekolah Kebangsaan (SK) Raub Indah, Raub dinobatkan juara kategori sekolah rendah manakala Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Kuantan di nobatkan sebagai juara kategori sekolah menengah.
Sementara itu, YB. Dato’ Mohamad Nizar menzahirkan rasa kagum dengan bakat yang diserlahkan oleh pelajar sekolah yang menyertai Pertandingan Inovasi berkenaan.
“Jadi ini satu perkembangan… satu pertandingan yang saya amat alu-alukan di bawah portfolio sains teknologi dan inovasi kerana kita ingin menggalakkan anak murid kita berinovasi, membudayakan inovasi itu menjadikan inovasi di arus perdana dan bukan hanya milik kelompok tertentu,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

