Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER 2024 : Cenergi SEA Berhad (“Cenergi”) memberdaya tenaga bersih di Pahang di bawah Dasar Netzero 2030 dengan mengekalkan kelestarian tenaga hijau di negeri ini menerusi pengurusan sisa kilang sawit menerusi beberapa kaedah ekosistem loji biogas yang disambungkan ke grid daripada efluen kilang minyak sawit (dari ladang ke grid). Loji biogas Cenergi FJP di Jerantut berkapasiti 5.5 MW telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) Grid Bersambung Terbesar di Malaysia.
Pengurus Pihak Berkepentingan (Stakeholder Management) Cenergi, Encik Remmy Rashid berkata, kaedah yang digunakan melibatkan penghasilan Biogas daripada Efluen Kilang Sawit serta Pelet / Briket berasaskan tandan buah kosong (EPB Pellet/Briquette) selain turut membangunkan Panel Solar, yang ditempatkan di sembilan lokasi sekitar Pahang.
Menurutnya, bagi pelaksanaan biogas, empat lokasi iaitu dua di Bera, Pekan dan Jerantut manakala EPB Pellet/Briquette pula telah dilaksanakan di Jerantut dan Maran.
Pembangunan Panel Solar telah dibangunkan di tiga lokasi iaitu dua di Kuantan dan Rompin.

“Peranan Cenergi dalam menyokong dan menghasilkan tenaga boleh baharu melalui penjanaan loji biogas, solar dan loji pembuatan pelet daripada tandan buah kosong kelapa sawit yang dijadikan produk yang boleh diguna semula.
“Untuk tahun 2024, Cenergi telah berjaya mengekspot sebanyak 37,592,423 kWh tenaga elektrik dari loji Biogas dan 1,097,116 kWh dari Panel Solar. Selain itu, sebanyak 216 tan metrik Pellet dan 275 tan Briket telah diproses daripada 1,068 tan metrik tandan buah kosong kelapa sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pameran bersempena International Greentech And Eco Products Exhibition And Conference Malaysia (IGEM) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari bermula Rabu.
Cenergi berusaha memberdayakan penyelesaian tenaga bersih bagi menjayakan Dasar Netzero 2030 di Pahang sekaligus dapat mewujudkan ekosistem berasaskan tenaga dan teknologi hijau pada masa hadapan.
Pada IGEM 2024, tujuh agensi sebagai pempamer telah turut serta iaitu Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), UMPSA Holdings Sdn Bhd, Cenergi Sea Berhad, Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Perbadanan Taman Negeri Pahang dan PlanMalaysia Pahang.
Pada penyertaan kali pertama pada 2023, Pahang telah dinobatkan sebagai juara bagi anugerah States Innovation Awards. – PAHANGMEDIA

