Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Muhammad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
KUANTAN, 9 OKTOBER 2024: Ahli Parlimen Pahang diminta untuk membangkitkan isu pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dalam sidang Parlimen akan datang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bagi memastikan komponen penting lebuhraya itu dapat disediakan demi keselesaan pengguna.
“Setakat ini belum ada respon (dari Kerajaan Pusat) tapi saya nak minta rakan-rakan Ahli Parlimen daripada Pahang untuk membangkitkan perkara ini.
“Dan saya harap Timbalan Speaker Dewan Rakyat memberi ruang yang secukupnya kepada mereka (Ahli Parlimen) untuk berbahas perkara ini sebab sidang Parlimen tidak lama lagi. Saya dah berhubung dengan ahli parlimen untuk membangkitkan perkata ini,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Reatreat Kepimpinan Masyarakat Orang Asli sempena Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.
Majlis dihadiri kira-kira 307 pemimpin yang terdiri daripada tok batin, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Orang Asli (JPKKOA) dan setiausaha JPKKOA seluruh Pahang.
Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Dr Ramli Dato’ Mohd Nor, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin,YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga menberitahu, pembinaan R&R adalah penting kerana jajaran LTU sepanjang 299.4 kilometer, dari Kuala Krai, Kelantan hingga ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Bentong, memerlukan kemudahan tersebut.
“Perjalanan itu agak jauh. 300 kilometer. Kalau ada kanak-kanak terpaksa berhenti untuk menggunakan tandas dan sebagainya sedangkan ianya tidak disediakan.
“Sebab itu saya membuat kenyataan baru ini, ianya perlu disediakan untuk keselesaan pengguna. Kalau pendek tidak mengapa, ini panjang.
“Dulu ada, tapi tiba-tiba ditiadakan. Bila saya tanya (Kerajaan Pusat) lagi, difahamkan kerana kenaikan kos dua kali ganda daripada kos asal tapi bagi saya itu soal lain. Yang pentingnya keselesaan pengguna harus dijaga,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak Kerajaan Negeri akan menunggu keputusan dari pihak Kerajaan Persekutuan dan meminta agar Kerajaan Persekutuan mengusahakan untuk adakan R&R terbabit. -PAHANGMEDIA

