Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Muhammad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
KUANTAN, 9 OKTOBER 2024: Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli negeri ini di mana pelbagai bentuk bantuan telah diberikan kepada mereka.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara bentuk bantuan yng diberikan adalah dengan pembinaan 120 unit Rumah Rakyat Pahang khusus untuk masyarakat Orang Asli negeri ini bernilai RM75,000 seunit.
“Disamping itu, kita telah menyerahkan geran di Sungai Gapoi, Bentong lebih kurang 6 ekar (2.4 hektar) kepada kebanyakkan Orang Asli dan juga memberi komputer kepada pelajar-pelajar Orang Asli.

“Dan ini jelas menunjukkan bahawa kita di Pahang, kita tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dan banyak bantuan yang kita bagikan kepada mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Retreat Kepimpinan Masyarakat Orang Asli Sempena Hari Orang Asli Sedunia Peringkat Negeri Pahang, di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Dr Ramli Dato’ Mohd Nor, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin,YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Difahamkan Program Retreat Kepimpinan Masyarakat Orang Asli yang diadakan selama tiga hari itu menghimpunkan kira-kira 307 pemimpin terdiri daripada tok batin, pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Orang Asli (JPKKOA) dan setiausaha JPKKOA seluruh Pahang.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut memberitahu program berkenaan merupakan platform dua hala antara Kerajaan Negeri dengan kepimpinan masyarakat Orang Asli dalam merungkai sebarang isu yang perlu diselesaikan secara bersama. -PAHANGMEDIA

