Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 9 OKTOBER 2024 : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam menyokong kenyataan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Wan Rosdy Wan Ismail agar kerja-kerja pembinaan pakej enam Lingkaran Tengah Utama (LTU) dapat diteruskan.
YB. Dato’ Amizar berkata, pembinaan pakej enam LTU antara Karak ke Simpang Pelangai sepanjang 30 kilometer itu akan dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di Lebuhraya Karak selain dapat memberikan keselesaan kepada pengguna khususnya penduduk Pelangai dan Bentong sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi dan pembangunan setempat.

“Selaku Ahli Dewan Negeri Pelangai, saya menyokong penuh kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail – Menteri Besar Pahang mengenai pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang melibatkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 billion,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berharap, pembinaan pakej enam LTU dan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) itu akan dapat diteruskan bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Malaysia khususnya Pahang, Pelangai dan Bentong, seterusnya dapat membantu meningkatkan ekonomi dan pembangunan setempat.
LTU merupakan projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi membina jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada kepada 4 lorong 2 hala (4-lane dual carriageway) sepanjang hampir 299.4 km dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bentong, Pahang.
Jajaran LTU di Negeri Pahang melibatkan empat pakej utama iaitu Pakej 3 sehingga Pakej 6 sepanjang 169.10 km dan dipecahkan kepada 16 seksyen dengan 9 seksyen sepanjang 106.85 kilometer telah berjaya disiapkan mengikut masa manakala 7 lagi seksyen sepanjang 62.25 kilometer sedang dalam pembinaan. – PAHANGMEDIA

