Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
KUANTAN, 08 OKTOBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyatakan isu waktu pendaftaran masuk tetamu ke hotel pada 4 petang yang tular didapati tidak berlaku di hotel-hotel di negeri ini.
Menurut Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, Kerajaan Negeri Pahang juga telah menyemak perkara ini dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA).
“Kita difahamkan daripada MOTAC (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia) bahawa waktu check in, check out itu adalah berdasarkan kepada permintaan pasaran.
“Tetapi di Negeri Pahang kita telah semak dengan MAH dan MyBHA, kita dapati bahawa setakat ini di Pahang sahaja kita tak ada isu besar sangat.
“Cumanya aduan tentang masa check in pukul 4, saya difahamkan daripada hoteliers di Pahang setakat ini ia tidak berlaku di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Malaysia International Tourism Expo Pahang 2024 (MIT Pahang 2024) di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC).
Menurut beliau, pihak MOTAC juga tidak boleh menentukan waktu bagi daftar masuk dan daftar keluar tetamu di hotel atau penginapan disebabkan pelbagai situasi.
“Dan pihak MOTAC tidak boleh menentukan masa check in, check out setiap hotel sebab setiap tempat situasinya tak sama.
“Sebagai contoh di Pulau Tioman, masa check in dan check out adalah bergantung kepada masa feri sampai ke pulau atau bertolak dari pulau. Jadi mengikut pihak MOTAC susah untuk mereka nak mengehadkan masa,” katanya.
Sebelum ini, tular tindakan segelintir pihak hotel yang menetapkan waktu daftar masuk premis yang bermula pada 4 petang, manakala waktu daftar keluar pula seawal 11 pagi.
Tindakan itu mencetuskan perbincangan orang ramai dengan rata-rata mereka meluahkan rasa tidak adil kepada pelanggan memandangkan tempoh penginapan yang singkat. -PAHANGMEDIA

