Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
TEMERLOH, 2 OKTOBER 2024 : Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi kerja membaikpulih Jalan Mempaga – Bukit Damar sepanjang 2 kilometer yang bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim berkata, laluan ini perlu diperbaiki segera kerana merupakan laluan utama bagi penduduk sekitar dari FELDA Lakum, FELDA Mempaga dan Bukit Damar, perkampungan Orang Asli dan orang ramai yang menggunakan susur keluar ke Lanchang dari Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Laluan sempit itu juga turut digunakan oleh kenderaan berat yang mengakibatkan bahagian tepi jalan pecah terutama ketika berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan.
“Kita berada di laluan FT1500 yang panjang keseluruhan lebih kurang 20 kilometer di mana 5 kilometer di dalam Daerah Bentong dan 14.1 kilometer dalam Daerah Temerloh.

“Jadi laluan ini sekarang menjadi laluan utama bila mana LTU (Lingkaran Tengah Utama) siap laluan ini akan menjadi ‘shortcut’ ke Lanchang dan kenderaan berat juga banyak lalu di sini dan jalan ini jalan yang lama.
“Dan diharapkan (apabila) siap kerja-kerja pembaikan ini akan memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi laluan berkenaan di FT1500 Jalan Mempaga / Lakum / Bukit Damar berdekatan persimpangan ke Kuala Gandah – Kem Askar (sempadan Daerah Bentong), hari ini.
Jelasnya, kerja-kerja baikpulih yang baru dilaksanakan ini merupakan fasa pertama membabitkan laluan sepanjang 2 kilometer manakala fasa seterusnya akan diteruskan secara berperingkat bergantung kepada kelulusan daripada pihak kementerian berkenaan. -PAHANGMEDIA

