Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Nuraqilah Amran
CAMERON HIGHLANDS, 01 OKTOBER 2024 : Kepentingan keberkesanan perbelanjaan kepada rakyat antara empat titik penting yang dicapai pada Majlis Pemukiman (Retreat) Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata tiga lagi titik penting yang dipersetujui adalah inovasi dan kreativiti; keterlibatan semua pihak; dan pembangunan berkelanjutan.
“Saya ingin menekankan beberapa point penting yang telah kita capai iaitu pertama, Keberkesanan Perbelanjaan di mana kita membincangkan cara-cara untuk memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberi impak yang maksimum kepada rakyat.
“Kedua, Inovasi dan Kreativiti yang mana pendekatan baharu dalam merangka belanjawan perlu diterapkan agar kita dapat memenuhi keperluan rakyat dengan lebih efektif; ketiga ialah Keterlibatan Semua Pihak di mana kerjasama antara jabatan, agensi, dan komuniti sangat penting untuk mencapai matlamat kita.

“Dan keempat adalah Pembangunan Berkelanjutan yang menekankan keperluan untuk mempertimbangkan aspek kelestarian dalam setiap keputusan belanjawan yang kita ambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pemukiman (Retreat) Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 di Zenith Hotel.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau turut menyeru semua pihak terlibat untuk komited dalam bekerja bagi merealisasikan visi dan misi Negeri Pahang.
“Akhir kata, marilah kita terus bekerja dengan tekad dan komitmen untuk merealisasikan visi dan misi Negeri Pahang.
Saya percaya, dengan kerjasama dan usaha yang gigih, kita akan dapat mencapai kejayaan yang lebih besar demi kesejahteraan rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

