Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Syed Abdullah Syed Nordin
KUANTAN, 3 OKTOBER 2024 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melepaskan sebanyak 420,000 ekor nyamuk Aedes berWolbachia bagi lokaliti Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2, tahun ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, pelepasan nyamuk berkenaan dilakukan secara berfasa selama 14 minggu dengan sebanyak 30,000 nyamuk dewasa dilepaskan setiap minggu.
Katanya, bagi negeri Pahang, projek pelepasan Aedes berWolbachia terbabit telah dimulakan pada tahun 2022 melibatkan dua lokaliti iaitu PPPRS Pinggiran Putra dan Taman Impianku.
“Bagi tahun 2024 ini, satu lokaliti dipilih di daerah Kuantan iaitu Pasdec Makmur Indera Mahkota 2. Ketika-tiga lokaliti ini dipilih berdasarkan beban kejadian kes demam denggi yang tinggi di lokaliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia kali pertama di Lokaliti Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2 di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.

Projek Pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di Malaysia adalah satu pendekatan untuk mencegah dan mengawal jangkitan kes demam denggi serta pendekatan ini telah dimulakan sejak tahun 2019 di seluruh negara secara berfasa.
YB Dato’ Ir Razali juga memberitahu, sehingga hari ini, sejumlah 540,000 ekor nyamuk dewasa telah dilepaskan di PPRS Pinggiran Putra manakala di Taman Impianku sejumlah 264,600 ekor nyamuk dewasa telah dilepaskan.
Beliau juga berkata, pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia dilihat memberi kesan dalam membantu menurunkan kadar kes wabak Aedes yang dicatakan di lokaliti berkenaan.
“Pelepasan (nyamuk Aedes beWolbachia) telah dimulakan sejak tahun 2022. Sehingga hari ini, kes demam denggi bagi tahun 2022 di Taman Impianku ada empat (kes), tahun ini ada satu (kes) dan tiada wabak. Manakala di PPRS Pinggiran Putra pada tahun 2022, kita dapati ada tiga kes dan pada tahun ini tiada kes dilaporkan.
“Ini satu program yang cukup baik kerana kalau hendak dibandingkan tahun-tahun sebelumnya berdasarkan rekod yang ada jumlahnya banyak berbanding sekarang,” katanya.
Dalam pada itu beliau juga memberitahu, setakat September tahun ini, sebanyak 410,265 premis di seluruh negeri ini telah dijalankan aktivit pengawalan dan daripada jumlah itu 4,797 premis positif pembiakan Aedes.
“Dan sebanyak 1,130 premis telah dikeluarkan notis kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dengan jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM565,000,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

