Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
LIPIS, 29 SEPTEMBER 2024 : Perasaan gembira berbaur terharu apabila akhirnya Puan Syamimah Abdul Rahman, 47, menerima Notis 5A selepas 15 tahun berhijrah ke Agropolitan Gahai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.
Dia yang berasal dari Lipis berhasrat berkongsi kegembiraan bersama keluarga dan jiran-jirannya yang turut menerima Notis 5A yang sama.
“Suka sangatlah sebelum ni tak ada dapat rumah, tak pernah memohon mana-mana rumah la, dah duduk sini pun 15 tahun baru dapat Notis 5A, bayar ni (premium) dapatlah geran, suka sangatlah.
“Saya mewakili penduduk Agropolitan Gahai, terima kasih Dato’ Sri, memang suka sangatlah, terima kasih banyak-banyak, kalau tidak tak ada rumah lagi lah kome ni,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Rumah Makmur Gahai Jaya 1 di Sungai Koyan, Encik Abdul Rahman Hashim, 46, bersama isteri, Puan Zulidawati Sulaiman, 45, turut bersyukur kerana penantian mereka untuk memiliki kediaman sendiri kini tercapai.
Mereka berdua bersama empat anak tidak sabar untuk berpindah ke rumah berkenaan sebaik sahaja bekalan elektrik dan air disambung ke perumahan tersebut.
“Alhamdulillah, syukur sangat sebab dah lama menunggu, lama sangat menunggu, menyewa pun dah banyak tahun, memang harap sangat rumah ni siap.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy kerana dia membuat apa jua untuk rakyat, demi kesenangan rakyat di sini, memang kita bersyukur sangat, jadi memang terima kasih banyak-banyak kepada MB, tak tau nak cakap apa dah, terima kasih MB,” katanya.

Encik Abdul Rahman yang merupakan ahli bomba hanya menyewa rumah di Sungai Koyan selama enam tahun sebelum terpilih sebagai penerima Rumah Makmur di Tanjung Gahai.
Kesemua penerima telah mendapat geran dan kunci rumah masing-masing yang telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Makmur Gahai Jaya 1 dan Penyerahan Notis 5A Agropolitan Tanjung Gahai di Perumahan Makmur Gahai Jaya 1.
Pada majlis itu seramai 19 penerima telah menerima Rumah Makmur manakala lapan penerima akan menerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4.
Projek Rumah Makmur Gahai yang bernilai RM80,000 ini merupakan projek pertama yang berjaya memperoleh Sijil Penyiapan Pematuhan (CCC). – PAHANGMEDIA

