Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
LIPIS, 28 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Pahang akan mempertimbangkan pembinaan PR1MA berkonsepkan pangsapuri di negeri itu sekiranya berkeperluan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan berkonsepkan pangsapuri itu juga bergantung kepada kesesuaian lokasi.

“Jika bersesuaian kita akan pergi ke arah itu sebab tanah ini semua orang tahu, sumber yang sangat terhad, tetapi kalau kita merasakan masih perlu secara landed (pembinaan rumah) kita akan teruskan, bila sampai masa nanti kita akan fikirkan, di mana tempat-tempat yang bersesuaian kita akan buat itu, mengikut kesesuaian lokasi, kalau situ selalu banjir dan sebagainya kita akan buat bertingkatlah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Kuala Lanar Indah Jaya dan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4 di Lipis, hari ini.
Hadir sama ialah isterinya, YBhg Datin Sri Diraja Hajah Burhah Mohammad, Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Datoβ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Haji Mustapa Long, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), YH. Dato’ Islanizam A. Halim, Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim dan wakil pemaju projek PR1MA Kuala Lanar.

Pada majlis itu, seramai 100 unit rumah PR1MA Pahang dan 25 unit RRP Fasa 4 telah diserahkan kepada penerima.
Selepas majlis itu, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menyerahkan 19 unit Rumah Makmur Gahai Jaya 1 manakala lapan penerima menerima RRP Fasa 4.
Turut disampaikan ialah Penyerahan Notis 5A Agropolitan Tanjung Gahai kepada penerima.

“Di Pahang ini, kita buat mengikut keperluan rakyat, kita ada buat rumah RM150,000, kita ada buat rumah RM80,000 sehingga rumah percuma pun kita bagi mengikut keadaan dan kesesuaian.
“Tak mampu RM150,000 pergi yang RM80,000, kalau betul-betul tak mampu kita sediakan Rumah Rakyat Pahang, tapi yang itu kita kena telitilah, kita tidak mahu yang patutnya layak tidak dapat, yang tidak layak dapat, itu yang kita minta Pegawai Daerah yang menjadi pengerusi untuk Rumah Rakyat Pahang dan ahli jawatankuasa terdiri daripada wakil rakyat kerajaan,” katanya.
Ditanya berhubung penjawat awam yang tidak berkelayakan memiliki kediaman sendiri, beliau berkata, selain diskaun 10 peratus yang disediakan oleh kerajaan, penjawat awam juga bole berhubung terus dengan LPHP untuk berbincang. – PAHANGMEDIA

