Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
PUTRAJAYA, 21 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menerima sumbangan RM151.04 juta daripada sepuluh Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Pahang (S-GLC) hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua sumbangan yang diterima akan disalurkan semula kepada rakyat di negeri ini.
“Jumlah sumbangan S-GLC kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2024 pada petang ini adalah berjumlah RM 151,038,012.
“Insya-Allah, menerusi sumbangan S-GLC ini kita akan pulangkan semula kepada rakyat menerusi pelbagai program-program kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa ucapan penggulungan pada Persidangan S-GLC Pahang 2024 bertemakan Unleashing Tomorrow: Innovate, Collaborate & Transform di Hotel Tue Everly.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan Pegawai Pelaburan Negeri Pahang yang juga Pengarah Eksekutif Koridor Utiliti Pahang (KUP), YH. Dato’ Kamarul Arifin Ahmad.
Tambah beliau, sejak 2018 hingga 2023, sebanyak RM554 juta telah disumbangkan oleh S-GLC kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Sejak saya mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada tahun 2018, saya telah menetapkan setiap S-GLC untuk menyumbang kepada Kerajaan Negeri setiap tahun secara pulangan tunai,” katanya. -PAHANGMEDIA

