Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
PUTRAJAYA, 21 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang mengeluarkan produk emas pertama yang dijenamakan sebagai Pahang Gold melalui Pahang Gold Sdn. Bhd.
Pelancaran produk emas oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ini sebagai satu usaha Pahang Merakyatkan Industri Emas bagi tujuan penerokaan baharu dalam industri hiliran emas.
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, pelancaran Pahang Gold ini juga bagi membuka peluang dalam sektor pembuatan dan pelaburan berasaskan sumber mineral emas di negeri ini.

“Kita di Pahang ini kita ada emas, kita banyak emas, tetapi tidak ada produk emas Pahang. Sebab itu dua tiga tahun yang lalu saya bersama kawan-kawan dalam Kerajaan Negeri memikirkan untuk buat.
“Dan kami pergi sendiri ke kilang-kilang emas untuk melihat sebelum kita realisasikan. Ini satu majlis yang sangat penting yang telah kita rancang sekian lama iaitu pelancara emas jenama Pahang Gold.
“Sebagai permulaan kita memperkenalkan tiga jenis koleksi emas iaitu Initial Edition, Core Collection dan Pahang Series yang divariasikan daripada berat emas 0.25 gram hingga ke 100 gram dalam bentuk jongkong emas; syiling emas; wafer dan Dinar Pahang Gold,” katanya.
Tambah beliau, Pahang Gold juga akan melancarkan laman portal e-Dagang bagi mengintegrasikan produk Pahang Gold ke dalam pasaran digital.
“Pahang Gold akan melancarkan laman portal e-Dagang www.pahanggold.com. Laman portal e-Dagang ini akan mengintegrasikan produk Pahang Gold ke dalam pasaran digital selari dengan gaya hidup masa kini.
“Syarikat ini bukan sahaja akan memacu ekonomi negeri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan serta menambah nilai kepada produk emas tempatan. Saya berharap Pahang Gold akan menjadi simbol kebanggaan negeri dan peneraju dalam industri emas negara,” katanya.

