Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2024 :“Ini anak, ada ibu, ada ayah, bukan anak ayam. Jangan kita bagi layanan seperti ini. Anak ayam ada pembelanya dengan baik, penternak yang baik. Ini anak-anak kita yang perlu kita jaga dengan baik,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah demikian berkaitan isu melibatkan eksploitasi kanak-kanak baru-baru ini.
“Belakangan ini kita sibuk dengan isu GISB (Global Ikhwan Sdn Bhd) yang mengejutkan satu Malaysia dan ini melibatkan kanak-kanak muda, anak-anak kita. Saya harap, saya berdoa supaya ini tidak berlaku di Negeri Pahang. Saya tidak ingin berpanjang, sudah memadai kita membaca dalam akhbar-akhbar atau dalam berita tetapi saya ingin membuat sedikit ingatan supaya jauhi daripada perbuatan seperti ini.
“Anak-anak kita salah satu aset kepada negeri, kepada keluarga kita, dan kepada masyarakat. Jangan kita sambil lewa sahaja. Tempat tinggal tidak bersih, makanan tidak berkhasiat,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah supaya semua pihak menjaga dan memelihara kebajikan anak-anak di maahad tahfiz, madrasah, serta pondok di negeri ini sebaik mungkin.
“Saya harap kita sama-sama renung dan tentukan kebajikan anak-anak di madrasah, maahad tahfiz, dan pondok akan terpelihara dengan sebaik mungkin.
“Saya sama sekali tidak akan mengizinkan perkara-perkara tidak bertanggungjawab serta mencemar nama baik agama Islam ini dibiarkan berlaku di Negeri Pahang,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah, dan Pondok Negeri Pahang Darul Makmur di Hotel Grand Darul Makmur.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad. – PAHANGMEDIA

