Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Syed Abdullah Syed Nordin
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Pahang akan mengkaji untuk meningkatkan kadar insentif kepada penyumbang pingat pada temasya SUKMA yang akan berlangsung di Selangor pada tahun 2026.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah insentif itu akan dinaikkan sebagai galakan dan pembakar semangat kepada atlet-atlet Pahang untuk terus berusaha mempertingkatkan prestasi dalam acara sukan masing-masing.
“Sepertimana yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pahang, mereka yang berjaya mendapat pingat, kita ada bagi sumbangan berbentuk kewangan untuk memberi semangat kepada mereka.
“InsyaaAllah dua tahun daripada sekarang angka yang kita bagi ini akan bertambah lagi tetapi jumlahnya kita akan tentukan kemudian.
“Sekarang ini emas dapat RM6,000, 2026 di Selangor, kita akan bagi tambahan lebih daripada RM6,000, banyak mana kita belum putuskan lagilah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Kontinjen Pahang SUKMA XXI Sarawak 2024 yang diadakan di Sri Manja Boutique Hotel di sini, hari ini.

Hadir sama ialah EXCO Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Pada majlis itu, Kerajaan Pahang telah menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM570,000 kepada Ketua Kontinjen Pahang, YHM Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Munir.
Pada SUKMA Sarawak XXI 2024 yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos lepas, Kontinjen Pahang berjaya memperoleh sebanyak 23 emas, 21 perak dan 32 gangsa dengan keseluruhan 76 pingat.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan pengurusan kontinjen dapat dilaksanakan dengan baik.
“Kerajaan negeri ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dan walaupun kita berada di tangga kesembilan tetapi bilangan kita bertambah,” katanya.
Beliau yakin dan optimis bahawa kejayaan dapat dicapai pada SUKMA akan datang selagi perancangan awal dan teliti dapat dirancang dengan baik. -PAHANGMEDIA

