Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2024 : Pengusaha dan pengetua maahad tahfiz, madrasah dan pondok negeri ini melahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan institusi itu di negeri ini.

Pengetua Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah Jengka, Ustaz Mohd Khairul Poniran berkata, dengan sokongan baik diberikan Paduka Baginda dan Kerajaan Negeri melalui Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) dapat membantu memajukan lagi maahad tahfiz, madrasah dan pondok negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri melalui MUIP telah memberi sumbangan one-off setiap tahun selain dana pembangunan yang diberikan Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sangat membantu menaik taraf maahad tahfiz, madrasah dan pondok dapat memberikan ruang pendidikan yang lebih baik buat pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Persidangan Pengusaha dan Pengetua Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Negeri Pahang yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.
Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah berkenan bercemar duli menyempurnakan majlis berkenaan. Keberangkatan baginda diiringi Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pondok Turath Pahang, Haji Barkatullah Mohd Bahari pula berkata, beliau merakamkan penghargaan atas kecaknaan paduka baginda dan MUIP dengan pemberian dana dan prasarana untuk memajukan institusi mereka.
“Kami berbangga kerana berada di Negeri Pahang, kekuatan dan komitmen yang konsisten dari Tuanku dan pihak MUIP dan mereka yang terlibat dalam melaksanakan dan memperkasakan pusat pendidikan turath, pondok dan maahad tahfiz.

Menyentuh tentang persidangan yang berlangsung, Pengasas Maahad Tahfiz Al Quran Ibtida Ad-Diniyah Indera Mahkota, Ummu Siti Fatimah Teh pula memberitahu, persidangan berkenaan banyak memberi penekanan tentang pendaftaran maahad tahfiz, madrasah dan pondok di negeri ini.
“Madrasah kami telah berdaftar pada 2018 dan sudah 10 tahun beroperasi. Dengan mendaftarkan madrasah dapat memberi banyak kebaikan dan apa yang Tuanku sarankan, kami dah laksanakan dan pada yang belum itu, cepat-cepatlah (daftar).
“Sebab ini adalah yang terbaik sebenarnya sebab bila kita berdaftar, pelajar kita memiiliki biasiswa dari Kerajaan Negeri Pahang iaitu seperti zakat pelajar. Alhamudlillah kesemua pelajar saya memiliki semua itu,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

