Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2024 : Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah, dan Pondok Negeri Pahang Darul Makmur disifatkan sebagai satu bahtera menghasilkan perbincangan terbaik untuk kebaikan institusi agama di negeri ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah persidangan selama dua hari ini bertujuan menjayakan kecemerlangan pendidikan Islam bagi generasi muda di Pahang.
“Dalam persidangan yang akan berlangsung selama dua hari ini, saya inginkan supaya tuan-tuan diberikan taklimat dan pendedahan dalam semua garis panduan utama ke arah pelaksanaan sistem pendidikan Islam yang lebih sempurna meliputi aspek-aspek berikut, peranan MUIP dalam mengawal sekolah agama Islam bukan milik kerajaan; dasar pendidikan tahfiz negara dan laluan pendidikan agama Islam Negeri Pahang.

“Isu-isu kesihatan di institusi pendidikan; garis panduan keselamatan pencegahan kebakaran; isu-isu tanah, pembinaan bangunan, pewakafan tanah dan mutawwali khas; isu-isu penjagaan dan Akta Kanak-kanak 2001; laluan pendidikan dan peluang melanjutkan pengajian SPM; dan program-program pengajian tahfiz Yayasan Pahang.
“Kita di sini semua sebagai satu pasukan dalam satu bahtera di Grand Darul Makmur. Kapal kita nama Grand Darul Makmur untuk kita berbincang mengeluar pandangan teguran cadangan untuk kebaikan bersama,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah penubuhan dan pelaksanaan institusi pendidikan agama ini memerlukan kerjasama pelbagai agensi kerana ia melibatkan pelbagai aspek penting.
“Penubuhan dan pelaksanaan institusi pendidikan seperti maahad tahfiz, madrasah, dan pondok sememangnya memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi berwajib.
“Proses ini tidaklah mudah kerana ia melibatkan pelbagai aspek penting seperti isu keselamatan, kebakaran, kesihatan, dan kebajikan pelajar. Semua ini perlu diberi perhatian agar institusi pendidikan dapat beroperasi dengan lancar dan dapat meneruskan fungsi mereka dalam mendidik anak bangsa.
“Tanpa kesedaran yang tinggi di kalangan para pengetua dan pengusaha, kita berhadapan dengan risiko madrasah, dan penubuhan maahad tahfiz, pondok yang berkembang secara tidak terkawal,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pengetua dan Pengusaha Maahad Tahfiz, Madrasah, dan Pondok Negeri Pahang Darul Makmur di Hotel Grand Darul Makmur.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.
Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain. -PAHANGMEDIA

