Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 17 SEPTEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang diminta mengambil peluang menjana hasil negeri melalui konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah supaya diperbanyakkan lagi usaha melibatkan konsep ini.
“Kita tidak boleh mendabik dada dengan pencapaian yang kita dapat sekarang. Iya kita sudah mencapai hasil negeri sebanyak RM1.1 bilion. Itu saya harap hanya permulaan sahaja.
“Saya boleh nampak ke hadapan hasil lagi akan bertambah kalau semua pihak khususnya pihak kerajaan dan pihak pentadbiran ini memberi satu fokus yang lebih, antaranya usahakan hasil-hasil mineral yang terdapat di Negeri Pahang dengan cara yang baik, cara yang boleh lestari dan sustainable.

“Dan sekarang sibuk dengan soal ESG, kita banyak menggalakkan usaha-usaha untuk mengadakan solar system, kurangkan carbon emissions, carbon NetZero semua ini. Ini semua adalah satu peluang dan opportunity untuk kita jadikan ini satu hasil untuk Kerajaan Negeri. Saya percaya ini dapat kita beri tumpuan dan jangan kita hanya sekadar okey cukuplah RM1.1 bilion,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya Kerajaan Negeri memajukan semula kawasan terbiar supaya hasilnya dapat dimanfaatkan oleh rakyat di negeri ini.
“Dan tanah-tanah yang kita ada ini, tanah-tanah yang tidak dimajukan, harus ditransformkan jadi satu tempat yang boleh dapat hasilnya. Jangan kita sangka paya itu tertinggal tapi kita biar saja begitu.
“Tidak sepatutnya ada mentaliti seperti itu sekarang. Kita nak majukan semula paya-paya yang ada, kita nak majukan semula lombong-lombong yang tak dikerjakan. So usahakan ini semua.
“Setiap inci di Negeri Pahang ini perlu dikeluarkan hasil untuk dikongsi bersama dengan rakyat Pahang dan saya nyatakan di sini rakyat Pahang di beri keutamaan dari bumi Pahang ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada sesi taklimat selepas berkenan bercemar duli melawat Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) hari ini. -PAHANGMEDIA

