Oleh : Fansurina Abdullah
KUCHING, 21 OGOS 2024 : Keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru mendorong Sayyeda Khadeeja Mohammad Anis Fadhli, 19, untuk menceburi sukan menembak sejak berusia 11 tahun.
Sayyeda Khadeeja yang mesra dipanggil Khadeeja pada asalnya merupakan atlet wusyu namun beralih arah kerana minat terhadap sukan menembak yang dilihat lebih menarik dan menyeronokkan.
Meskipun pada awalnya, penglibatan dalam sukan itu hanya sekadar ingin mencuba, namun siapa sangka dia kini berjaya menyumbang empat pingat emas kepada kontinjen Pahang.
“Alhamdulillah sebab dapat sumbang empat emas kepada Pahang sebab SUKMA lepas saya tak dapat sumbang pingat emas lagi, jadi dapat bagi sekali empat pingat emas itu gembira lah,” katanya.
Khadeeja yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau, Kuantan kini melanjutkan pengajian Pra-Universiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil dalam bidang akauntan demi meneruskan cita-citanya untuk mewakili Malaysia ke peringkat Sukan Sea dan Olimpik.
“Target saya kalau realistik kita ambil Sea Game pada tahun depan, kalau kata saya punya target yang kena berusaha bersungguh-sungguh Olimpik lah,” katanya.
Keinginan yang kuat Khadeeja untuk terus mengharumkan nama Pahang di persada antarabangsa memberikan kekuatan kepadanya untuk sembuh daripada kecederaan di bahu kanan yang pernah dialaminya.
Kini anak bongsu daripada dua beradik ini semakin menyinar selepas berjaya sembuh daripada kecederaan yang dialami berkat sokongan daripada semua pihak termasuklah ibu bapa dan keluarga, kesemua jurulatih dan rakan-rakan.
Pada SUKMA Sarawak kali ini, Khadeeja menyertai acara 25 meter Sport Pistol dan 10 meter Air Pistol. – PAHANGMEDIA

