Oleh : Fansurina Abdullah
KUCHING, 21 OGOS 2024 : Dua atlet wanita dari sukan akuatik renang dan olahraga menugungguli kontinjen Pahang apabila berjaya menyumbang kutipan dua pingat emas bagi sukan masing-masing.
Atlet akuatik renang, Wong Shi Qi, 21, berjaya menamatkan acara 50 meter gaya kupu-kupu wanita dengan catatan masa 28.27 saat sekaligus menewaskan lawan dari Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan masing-masing merekodkan 28.44 saat dan 28.50 saat.

“Mesti gembira bila nyanyi lagu Negeri Pahang (kerana pingat emas) ini pertama kali saya dapat pingat emas, bila tengok video jarak saya dengan atlet lain sangat dekat kalau saya lambat sikit mungkin dapat nombor dua atau nombor tiga,” katanya.
Sementara itu, atlet olahraga, Noor Shahreena Hamizan pula berjaya menewaskan Wilayah Persekutuan dan Sabah dalam acara Lompat Bergalah Wanita dengan catatan ketinggian 3.5 meter berbanding 3.2 meter bagi Wilayah Persekutuan dan Sabah dengan 3.1 meter.
Dia menyifatkan pingat emas ini merupakan hadiah bermakna buat Negeri Pahang meskipun ini adalah pengalaman pertamanya beraksi di pentas SUKMA.
“Saya gembira sebab ini adalah pingat emas pertama dari sukan olahraga tetapi saya tidak berpuas hati dengan pencapaian hari ini sepatutnya saya sudah mencuba untuk buat ‘personal best’ tetapi mungkin rezeki saya pingat emas sahaja tidak dapat buat ‘personal best’,” katanya.

Noor Shahreena kini berazam untuk mempertingkatkan pencapaian dan latihan sebagai persediaan untuk kelayakan ke Sukan Sea pada tahun hadapan.
Kedua mereka merupakan antara penyumbang pingat emas kepada kontinjen Pahang selain sukan berbasikal bagi acara Downhill Individu Lelaki oleh atlet Tengku Mukhriz Tengku Mansor yang berlangsung di Bukit Siol, Jalan Samariang di Kuching, Sarawak, hari ini.
Kontinjen Pahang telah menyumbang sebanyak 16 pingat emas, 10 perak dan 16 gangsa sehingga jam 5.45 petang tadi.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

