Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 OGOS 2024 : Jabatan Mufti Negeri Pahang menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menegur komen negatif dikeluarkan oleh ahli politik.
Menurut Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim, pihaknya turut menjunjung kasih terhadap titah baginda supaya pihak polis menyiasat dakwaan kesalahan menghina raja-raja Melayu terhadap kesalahan tersebut.
“Kempen dan perbezaan politik di kalangan ahli politik seharusnya tidak menyentuh Kebawah Duli Raja Raja Melayu. Raja Raja Melayu telah terbukti menjadi payung apabila keadaan politik tidak stabil sejak lebih lima tahun kebelakangan ini khususnya peranan Kebawah Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
“Keputusan yang dibuat oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada ketika itu dibuat setelah segala pertimbangan dengan teliti dan bersesuaian bagi menyelesaikan keadaan sebenar suasana politik negara.
“Jabatan Mufti Negeri Pahang menjunjung tinggi teguran yang dibuat oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang menegur komen negatif oleh ahli politik terhadap keputusan Kebawah Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong terdahulu dan menjunjung kasih terhadap titah baginda supaya Pihak Polis menyiasat dakwaan kesalahan menghina Raja Raja Melayu terhadap kesalahan tersebut,” katanya.
Menurut beliau rakyat wajib memberikan ketaatan terhadap keputusan Kebawah Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tersebut kerana Baginda telah membuat keputusan berdasarkan fakta tanpa bias, dan untuk kestabilan negara. -PAHANGMEDIA

