Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Wan Muhamad Faris Ridhwan (MSP)
KUCHING, 18 OGOS 2024 : Momentum semangat dan motivasi atlet Pahang dalam meraih pingat pada temasya SUKMA Sarawak 2024 semakin baik apabila kutipan pingat emas semakin memberangsangkan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, antara penyumbang pingat emas bagi Kontinjen Pahang ialah sukan taekwando menerusi acara ‘feather weight lelaki’ oleh Putera Arsyad Danish Mohd Afrizan.
Menurutnya, jumlah pungutan pingat semakin bertambah dan berharap semangat ini akan dapat diteruskan pada hari berikutnya.

“Semalam tiga pingat emas, dua daripada sukan menembak dan satu daripada taekwando dan saya difahamkan hari ini tambah sekurang-kurangnya tambah empat atau lima pingat emas lagi dari sukan menembak, sekejap lagi saya hendak ke sana (lapang sasar menembak) jadi kita tengok momentum Pahang makin baik sehari dua ini dan kita doakan Pahang terus mencipta kejayaan dengan menggondol lebih banyak emas bermula esok,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pingat bagi sukan taekwando di Stadium Perpaduan Petrajaya, Kuching, hari ini.
Bagi Putera Arsyad Danish pula, pengalaman pertamanya beraksi di gelanggang taekwando pada SUKMA Sarawak sangat mengujakan lebih-lebih lagi apabila dapat menyumbangkan pingat emas.
“Rasa gembira sebab pertama kali main untuk SUKMA, sebab daripada kosong, saya rasa gembira sangat sebab tidak pernah pergi perlawanan besar dalam Malaysia,” katanya.
Putera Arsyad Danish berhasrat untuk mengembangkan kebolehan dalam sukan taekwando ke peringkat lebih tinggi.
Semalam, Putera Arsyad Danish telah menewaskan Terengganu bagi acara ‘feather weight lelaki’.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

