Oleh : Fansurina Abdullah
SANTUBONG, 18 OGOS 2024 : Kesemua 14 atlet petanque berhadapan cabaran apabila berlaku perubahan gelanggang yang terpaksa menukar teknik dan corak permainan daripada balingan melerek kepada balingan lambung.
Jurulatih Petanque Pahang, Cik Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz berkata, meskipun berlaku perubahan gelanggang pada saat akhir, namun pasukannya telah bersedia lebih awal bagi mempersiapkan diri berhadapan pelbagai rintangan sehingga berjaya menghadiahkan pingat gangsa kepada Kontinjen Pahang pada perlawanan pertama.
Menurutnya, pingat ini sekaligus dapat membakar semangat dan kesungguhan para atlet untuk terus bersaing pada 12 perlawanan selepas ini.

“Untuk gelanggang ada sedikit mengejutkan kami sebab gelanggang di Sarawak ini diperbaiki baru, kami mendapat makluman sebulan sebelum kejohanan sebenar, jadi kita nak training dalam masa sebulan tu bukan senang.
“Mula-mula kami training lerek sebab kami tahu padang ini adalah lerek tetapi bila dapat tahu yang padang ini banyak batu, jadi kami terpaksa training lambung dalam masa dua minggu training sebelum ke SUKMA itu adalah cabaran untuk saya suruh atlet lambung bola itu daripada kita melerek, cabaran untuk atlet, jadi datang sini atlet tidak ‘culture shock’ tengok gelanggang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal di Pusat Petanque Sarawak di Santubong, Sarawak, hari ini.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

