Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Wan Muhamad Faris Ridhwan (MSP)
KUCHING, 16 OGOS 2024 : Acara sukan lawn bowls kategori wanita berempat berjaya menyumbang pingat pertama bagi kontinjen Pahang pada temasya SUKMA Sarawak XXI di Arena Lawn Bowls Sarawak di Kuching, petang tadi.
Acara yang bermula pada jam 2.15 petang itu menyaksikan pasukan Pahang tewas tipis kepada Selangor dengan kutipan mata 13-15.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, meskipun hanya membawa pulang pingat perak namun seluruh kontinjen berasa berbangga dengan sumbangan pingat pertama ini.
“Syukur Alhamdulillah pingat pertama Pahang di SUKMA Sarawak kali ini melalui acara lawn bowls berempat berpasukan wanita, Alhamdulillah kita dapat pingat perak tewas kepada Selangor tipis sahaja 15-13.
“Alhamdulillah permulaan yang baik untuk lawn bowls esok ada beberapa acara lagi dan kita sangat gembira hari ini, dah ada pingat untuk Pahang, ini permulaannya, InsyaaAllah kita doakan lepas ini banyak lagi pingat yang kita dapat untuk kontinjen Pahang, InsyaaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan lawn bowls kategori wanita berempat yang berlangasung di Arena Lawn Bowls Sarawak di Kuching.
Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, Ketua Kontinjen Pahang ke SUKMA Sarawak 2024, YHM Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin Shah Dato’ Munir, Presiden Persatuan Lawn Bowls Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Zakaria Ibrahim, Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), YBrs Tuan Haji Zamri Hassan dan Timbalan Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Pahang, YBrs Encik Shafrul Haji Kadir.
Sementara itu, YHM Tok Muda Dato’ Indera Tun Putera Abdul Mubin berkata, pasukan lawn bowls Pahang harus bersemangat dalam meneruskan perjuangan untuk meraih emas meskipun berasa sedih kerana tewas kepada Selangor pada perlawanan akhir lawn bowls wanita berempat hari ini.
“Tahniah kepada team lawn bowls, ini adalah pingat pertama, mereka sedih kerana kalah tipis tetapi saya bagitahu kepada mereka (pasukan lawn bowls) mereka kena rasa bangga sebab ini adalah pingat pertama untuk Pahang dan itu adalah kebanggaan,” katanya.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

