Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Wan Muhamad Faris Ridhwan (MSP)
KUCHING, 17 OGOS 2024 : Semangat dan kesungguhan atlet taekwando Pahang, Tengku Natrah Adani Dalili Tengku Ahmad Muzaffar, 19, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan empat bulan lalu, mampu menghadiahkan dua pingat gangsa kepada kontinjen Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kesungguhan ini harus menjadi contoh dan ikutan kepada semua atlet Pahang agar terus berjuang untuk meraih kemenangan demi Negeri Pahang.
“Ini semangat yang cukup luar biasa, komitmen yang cukup padu daripada atlet kita dan saya harap boleh jadi contoh kepada atlet-atlet yang lain di mana kesungguhan dan semangat sebeginilah yang membolehkan beliau berjaya meraih dua pingat gangsa hari ini, bukan sahaja untuk beliau tetapi juga untuk Negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perlawanan Taekawando yang berlangsung di Stadium Perpaduan Kuching di Sarawak, pagi tadi.
Tengku Natrah Adani Dalili berjaya menyumbangkan dua gangsa menerusi kategori Individu Wanita dan Berpasangan Campuran bersama Muhammad Faris Danial Mohd Ziunizan.
YB. Tuan Fadzli sebelum itu berkesempatan hadir memberikan sokongan kepada atlet gimrama di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di Sarawak.
Hadir sama di BCCK ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
SUKMA Sarawak XXI bermula pada 17 Ogos hingga 24 Ogos depan melibatkan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

