Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Wan Muhamad Faris Ridhwan
KUCHING, 15 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri bersedia memperkukuh jalinan kerjasama bagi golongan belia di antara dua negeri iaitu Pahang dan Sarawak dalam bidang ekonomi, alam sekitar, budaya, sukan dan pelbagai bidang lain.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerjasama baik yang sudah sedia terjalin akan diperkukuh dan diperincikan akan dapat saling mempelajari kelebihan daripada dua negeri berkenaan.
“Selain daripada terlibat dengan SUKMA kali ini, saya menyatakan hasrat daripada Kerajaan Negeri Pahang untuk membina jaringan kerjasama bersama dengan belia-belia Sarawak.
“Jadi disambut baik oleh YB Dato’ Sri (YB. Dato’Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah) dan kita akan perincikan bidang kerjasama tersebut selepas SUKMA ini tetapi yang penting banyak yang kita boleh pelajari dengan Sarawak ini khususnya dari segi hubungan belia Pahang dan belia Sarawak termasuklah dalam bidang ekonomi, alam sekitar, budaya, sukan dan pelbagai bidang lain yang kita lihat Sarawak lebih ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Kunjungan Hormat Delegasi YB Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang ke atas YB Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak sempena SUKMA Sarawak XXI di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya di Kuching, hari ini.
Pada SUKMA Sarawak XXI kali ini, Pahang telah menghantar seramai 564 atlet bagi menyertai 36 jenis sukan yang dipertandingkan dengan mensasarkan 40 pingat emas selain memperbaiki kedudukan ke tangga kelima berbanding kedudukan di tangga kesembilan pada SUKMA lepas.
Hadir sama pada kunjung hormat ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Dr. Zakaria Ibrahim, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, YBrs Encik Mu’azamir Jili, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Saudara Saharuddin Ahmad dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pahang, YBrs Encik Shafrul Haji Kadir.
Manakala Kerajaan Negeri Sarawak pula diwakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, YB. Dato’Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak, YB. Dato’Dr. Ripin Lamat, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak, YBrs. Encik Morshidi Fredrick dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Sarawak, Encik Dolhadi Haji Mazuki.
Menurut YB. Dato’Sri Haji Abdul Karim, pihaknya turut berasa berbangga menerima kunjungan daripada delegasi Kerajaan Pahang yang sudi berkunjung ke pejabatnya bersempena SUKMA Sarawak XXI yang kini sedang berlangsung.
“Kami berasa bangga sekali dengan kunjungan daripada Pahang, Exco Belia dan Sukan Pahang ke Sarawak untuk sukan SUKMA dan ingin merapatkan lagi perhubungan kita dan selain daripada itu kami mahu lihat perhubungan ini bukan saja berhenti di peringkat SUKMA itu saja lepas itu kita boleh rapatkan lagi dengan perkara-perkara lain,” katanya.
SUKMA Sarawak XXI telah bermula pada 17 Ogos dan akan berakhir pada 24 Ogos depan dengan penyertaan daripada 13 kontinjen dari seluruh negara yang menyertai sebanyak 488 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan. – PAHANGMEDIA

