Oleh : Mohd Taufiq Usoff
CAMERON HIGHLANDS, 15 OGOS 2024 : Daerah Cameron Highlands berjaya mencatatkan kutipan hasil tanah sebanyak RM16.3 juta sehingga 14 Ogos lalu.
Pengumuman ini dibuat oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Encik Kamarul Iskandar Nordin ketika Majlis Perasmian Karnival Tanah Pahang 2024 Peringkat Daerah Cameron Highlands di Dataran Parkir Awam MDCH di Tanah Rata hari ini.
Menurut beliau, penganjuran karnival ini telah berjaya menyumbang sebanyak RM2.12 juta daripada jumlah terkini kutipan hasil tanah.
Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pemilik tanah yang telah menjalankan tanggungjawab membayar cukai.

“Tahniah dan penghargaan juga kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak secara langsung dalam menjayakan Karnival Tanah Pahang Peringkat Daerah Cameron Highlands tahun 2024 ini,” katanya.
Pada majlis sama, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang turut menerima replika cek bayaran hasil tanah daripada Syarikat Arrowstar Sdn Bhd Sdn. Bhd. berjumlah RM1,258,719, Syarikat Mighty Meridian Sdn. Bhd. berjumlah RM261,325 dan Datuk Bandar Kuala Lumpur berjumlah RM145,120.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata ,YB Ho Chi Yang; Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang (Bahagian Pendaftaran), Puan Siti Nor Rafidah Saiman; YDP Majlis Daerah Cameron Highlands, Tuan Azmil Hadid Maznan dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Cameron Highlands, En. Mohd Haziq Mohd Rohir.-PAHANGMEDIA

