Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najib Mohd
KUANTAN, 16 OGOS 2024 : Pembangunan yang sedang dan telah berjalan di negeri ini di kawasan sekitar Pelabuhan Kuantan dilihat dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di Pahang.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata projek-projek ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan perindustrian Pahang dengan ketara, menawarkan lebih banyak peluang kerjaya dan ekonomi untuk rakyat Pahang.
“Projek sedia ada dan sedang berjalan, seperti Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, mengukuhkan lagi sambungan pelabuhan ke bahagian barat Semenanjung Malaysia dan pusat ekonomi utama yang lain.
“Tambahan pula, dengan permulaan operasi di Terminal Air Dalam Baharu, dikenali sebagai Pelabuhan Kuantan 2, pada 2018, Pelabuhan Kuantan telah berkembang menjadi salah satu pelabuhan pukal kering terbesar di Malaysia. Lima puluh peratus daripada keseluruhan pengeluaran pelabuhan dikuasai oleh kargo pukal kering, seperti bijih besi, arang batu, pasir dan bauksit, yang memenuhi pasaran tempatan dan luar negara.
“Selain itu, kita akan menyaksikan evolusi negeri Pahang, menjadi lebih maju dengan peningkatan ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan yang lebih baik, sekaligus menarik pelaburan dalam pembuatan, logistik dan industri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Pelabuhan Kuantan bertemakan Sailing Through the Decades di Hotel Zentih.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB. Senator Puan Hajjah Fuziah Salleh; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan Pengerusi Lembaga Perlabuhan Kuantan, YAM Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Tan Sri Azlan Ibni Sultan Abu Bakar.
Menurut beliau, Pelabuhan Kuantan merupakan pelabuhan serbaguna yang menjadi hub utama bagi import dan eksport di negeri ini.
“Sebagai pelabuhan serbaguna yang boleh mengendalikan pelbagai jenis kargo, Pelabuhan Kuantan mempunyai kedudukan yang strategik dan dikelilingi oleh kawasan perindustrian seperti mineral, petrokimia, petroleum, dan industri keluli.
“Saling bergantungan perniagaan ini telah menjadikan pelabuhan sebagai hub utama untuk import dan eksport di Pahang, menjadi pintu masuk penting antara Malaysia dan destinasi utama Asia Pasifik, termasuk China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan evolusi pelabuhan menjadi kuasa penting dalam memacu perdagangan maritim di Pahang dan Malaysia sejak 50 tahun lalu.
“Saya benar-benar berbangga kerana telah menyaksikan evolusi pelabuhan sejak lima puluh tahun yang lalu, menjadi kuasa penting dalam memacu perdagangan maritim di Pahang dan Malaysia. Marilah kita teruskan semangat sinergi dan kerja berpasukan sambil menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan di Pahang,” katanya.-PAHANGMEDIA

