Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
KUANTAN, 13 OGOS 2024 : Inisiatif Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) dijadikan pengukur kejayaan negeri melalui penjanaan ekonomi yang dihasilkan oleh para usahawan.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata pembiayaan ini juga merupakan salah satu cara memperkasakan usahawan untuk memajukan perniagaan mereka.
“Program ini sangat membantu kelangsungan kepada usahawan. Ini sebagai motivasi dan juga untuk melestarikan dan juga memperkasakan usahawan sedia ada di Pahang.

“Ia juga merupakan pemangkin ekonomi negeri dan selepas Kerajaan Negeri Pahang membantu para usahawan ini ia dapat melonjakkan sosioekonomi mereka dan memberi impak positif kepada Kerajaan Negeri dan seluruh negara.
“Usahawan ini juga merupakan salah satu pejuang untuk meletakkan mereka sebagai ejen Negeri Pahang apabila mereka berjaya, maka berjayalah Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Pembiayaan I-PUSH Fasa 3 Untuk Usahawan Mikro Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.

Menurut beliau, pembiayaan ini juga merupakan salah satu insentif bersifat menang-menang di antara Kerajaan Negeri Pahang dan juga para usahawan terlibat.
“Ini adalah satu inisiatif yang Kerajaan Negeri buat untuk saling membantu iaitu Kerajaan Negeri Pahang bersama usahawan dan inilah antara titik mula yang kita gerakkan yang telah pun masuk Fasa 3.
“Dan kita doakan supaya jika ada Fasa 4 (tidak lama lagi). Kita tunggu sahaja pengumuman daripada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya.
Seramai 211 penerima daripada daerah Kuantan telah menerima surat pembiayaan I-PUSH Fasa 3 hari ini daripada 1,132 usahawan yang berjaya daripada seluruh Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

