Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 OGOS 2024 : Lawatan rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul menjadi platform perbincangan bagi memperkasakan institusi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini.
Menurut beliau, lawatan yang julung kali diadakan ini turut melibatkan perbincangan dan pertukaran ilmu selain keedah berkesan dalam melancarkan perjalanan institusi DUN.
“Perjalanan negeri itu paksinya daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) atau di Parlimen. Perkongsian pengalaman dan maklumat itu penting dan perjalanan dari satu Dewan Negeri
ke Dewan Negeri yang lain itu ada pelbagai perbezaan dan kelebihannya.
“Dan disinilah peluang untuk kita semua berkongsi pengalaman dan mungkin ada perkara baharu yang boleh kita kongsi sama. Saya sendiri secara peribadi telah belajar banyak daripada apa yang terjadi di negeri-negeri.
“Kita akan sembahkan dapatan kita ini supaya boleh sama-sama perbaiki dewan masing-masing dan memastikan rakyat akan mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dah Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Turut hadir, Yang DiPertua Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Shakar Shamsuddin; Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, YBhg. Datuk Haji Muhamad Zamani Mohd Ali; dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB. Tuan Lee Chin Chen.
Beliau berkata lawatan ini juga merupakan persiapan bagi Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024 pada 11 hingga 14 September di Kuching, Sarawak.
“Ada benda-benda baharu yang kita tidak terfikir pun yang difikirkan oleh Dewan Undangan Negeri. Jadi disinilah betapa pentingnya lawatan ini.
“Dan ada benda-benda yang kita rasa kita boleh cadangkan apabila kita bersidang nanti dan mungkin resolusi ini dibawa balik ke negeri masing-masing.
“Selain kita boleh minta kerajaan mempertimbangkan apa juga permohonan kita demi memastikan bahawa kita akan dapat satu keseragaman apa yang berlaku di Parlimen, di negeri, supaya kita mendapat manfaat yang terbaik,” katanya.
Pahang merupakan negeri kesembilan dalam senarai lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan ke Selangor pada 15 Ogos ini. -PAHANGMEDIA

