Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 OGOS 2024 : Inisiatif Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) memberikan sinar baharu kepada peniaga laksa Utara, Puan Ayu Norehan dimana bantuan diterima dijadikan sebagai modal perangsang untuk memulakan kembali perniagaannya.
Menurut Puan Ayu Norehan Saleh, 39, berkata insentif I-PUSH ini dapat membantu perniagaannya kembali bangkit setelah terpaksa dihentikan sementara akibat patah kaki awal tahun ini.

“Saya dapat bantuan Skim I-PUSH daripada Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM10,000 yang mana ini adalah modal say untuk menjalankan perniagaan.
“Saya telah mula berniaga sejak 2013 bermula dengan berniaga kedai makan, butik pakaian, tapi ada jatuh bangun sebelum saya berniaga laksa dalam setahun ini.
“Saya rasa pembiyaan RM10,000 ini sangat banyak membantu saya tambah pula baru-baru ini saya patah kaki, terpaksa cuti tanpa gaji dan perniagaan juga tak dapat dijalankan selama beberapa bulan, dan I-PUSH ini seperti sinar buat saya sekeluarga,” katanya yang berniaga di Taman Impianku.
Sementara itu, bagi peniaga makanan Encik Syaidiq Hanif June Hassen, 26, berkata pembiayaan I-PUSH sebanyak RM10,000 yang diterima ini sangat dinantikan oleh keluarganya bagi mengembangkan perniagaannya.

“Saya rancang untuk buat kedai atas tanah sendiri, bangunan kedai, tanah dah ada. Dan bakinya kalau ada saya nak guna untuk beli barangan untuk masak.
“Saya rasa bersyukur sebab saya memang menantikan bantuan ini kerana ini merupakan pembiayaan pertama kami.
“Terima kasih kepada YB. Dato’ Amizar, kepada Kerajaan Negeri dan juga Bank Muamalat atas pinjaman yang diberikan ini,” katanya yang memiliki kedai Leypak Nenda di Bukit Rangin.
Seramai 211 penerima daripada daerah Kuantan telah menerima surat pembiayaan I-PUSH Fasa 3 hari ini daripada 1,132 usahawan yang berjaya daripada seluruh Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

