Oleh : Akmalia Allen
KUANTAN, 13 OGOS 2024 : Harta intelek di Negeri Pahang diharap dapat dikomersialkan secara meluas dengan pelaksanakan Skim Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, melalui dana juga diharap mampu melahirkan pakar penyelidik dan inovasi yang menghasilkan ciptaan yang mampu membanggakan Negeri Pahang.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada MOSTI kerana berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dalam menjayakan jerayawara ini.
“Diharap program ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat kerana ia mampu menghasilkan penyelesaian berasaskan sains, teknologi dan inovasi yang mana dan memberi manfaat melalui hasil penyelidikan dan pembangunan yang berkualiti serta berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jerayawara Skim Dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) anjuran MOSTI di Sri Manja Boutique Hotel, Kuantan, di sini, hari ini.
Program ini adalah untuk menyebar luas skim pembiayaan tersebut disamping memberi penerangan yang lebih mendalam dan pada masa yang sama mempromosikan geran dana ini kepada pemohon yang lebih bersasar.
Ia juga adalah untuk membantu pengkaji menambah baik kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan. Melalui dana yang diperkenalkan oleh MOSTI ini juga ianya mungkin dapat membantu para pengkaji menerokai industri yang baru.-PAHANGMEDIA

