Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
KUANTAN, 8 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan menganjurkan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pahang pada Oktober depan bagi meraikan penggiat inovasi di negeri ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata program inovasi dwi-tahunan berkenaan akan meliputi semua peringkat.
“Pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Hari Inovasi Peringkat Negeri Pahang yang dirancang diadakan pada bulan Oktober akan datang.
“Program inovasi dwi-tahunan ini dianjurkan bagi meraikan penggiat-penggiat inovasi di semua peringkat meliputi sektor awam, Institut Pengajian Tinggi (IPT), sekolah mahupun orang awam.
“Permohonan penyertaan pertandingan inovasi telah dibuka melalui laman sesawang pikir.pahang.gov.my dan saya ingin mengajak seluruh rakyat Negeri Pahang daripada pelbagai sektor, institusi, perseorangan dan masyarakat akar umbi untuk menyertai pertandingan ini yang akan menjadi platform untuk mengetengahkan projek-projek inovasi yang bernilai tinggi yang dapat kita kembangkan bagi tujuan replikasi dan pengkomersialan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri DiRaja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Pantai Timur di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Menurut beliau, penganjuran program Malaysia Techlympics (MT) khususnya di Zon Timur memainkan peranan penting dalam membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan inovasi dan kemajuan tenologi dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Penganjuran program MT 2024 memainkan peranan penting dalam menyalurkan ilmu teknologi kepada pelajar, serta menjadi persediaan awal yang sangat bermanfaat dalam pembelajaran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI). Program ini menyediakan platform yang interaktif dan dinamik bagi golongan muda terutama para peserta yang berusia di antara 7-30 tahun untuk terlibat secara langsung dengan pelbagai aspek teknologi, sekaligus membangkitkan minat mereka dalam bidang ini.
Melalui pertandingan dan aktiviti yang dianjurkan dalam MT 2024, saya difahamkan bahawa peserta-peserta diberi peluang untuk mengeksplorasi dan memahami sembilan teknologi yang menjadi tema MT 2024 kali ini. Pastinya mereka dapat belajar tentang konsep-konsep teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik, dan internet pelbagai benda atau loT melalui pengalaman praktikal dan pembelajaran hands-on. Ini membantu dalam memperkukuhkan pengetahuan para peserta tentang bagaimana teknologi berfungsi dan boleh diaplikasikan dalam situasi sebenar,” katanya.-PAHANGMEDIA

