Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
KUANTAN, 8 OGOS 2024 : Pahang akan menjadi negeri pertama melaksanakan Program Rehlah Sains melibatkan pelajar sekolah tahfiz di Pantai Timur.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal berkata program mini karnival di bawah payung Minggu Sains Negara (MSN) akan diadakan pada Oktober dan November ini.
“Dikesempatan pada majlis hari ini, sukacita saya maklumkan bahawa MOSTI turut melancarkan program Rehlah Sains yang mana merupakan program mini karnival di bawah payung Minggu Sains Negara yang akan dilaksanakan dan menyasarkan golongan pelajar di sekolah tahfiz di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Program yang bakal diadakan pada bulan Oktober dan November ini akan melibatkan tujuh buah sekolah tahfiz.
“Program ini juga merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memberikan pendedahan STI kepada pelajar tahfiz, memupuk minat mereka terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan berinovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Pantai Timur di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Menurut beliau, penyatuan elemen STEM bersama pelajar tahfiz dilihat mampu membentuk keseimbangan kepada para pelajar terlibat.
“Pengintegrasian elemen STEM dan tahfiz ini dilihat mampu membentuk keseimbangan yang menarik sekali gus membuka peluang dan ruang kepada pelajar tahfiz melengkapkan diri sebagai generasi yang mampu berdaya saing pada masa akan datang.
“Dengan inisiatif ini saya turut berharap supaya golongan ini tidak terpinggir dalam usaha pembudayaan STI negara dan saya turut berharap supaya lebih banyak sekolah-sekolah tahfiz yang akan turut serta dalam inisiatif program Minggu Sains Negara pada masa hadapan,” katanya.-PAHANGMEDIA

