KUANTAN, 8 OGOS 2024 : Pahang meningkatkan kadar insentif untuk pemenang pingat emas bagi atlet Pahang yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak kepada RM6,000, berbanding RM4,000 sebelum ini.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu dipersetuji di dalam menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
“Melalui insentif ini, setiap pemenang pingat emas atlet individu akan menerima insentif RM6,000, berbanding RM4,000 sebelum ini.
“Manakala, setiap pemenang pingat emas atlet berkumpulan akan menerima insentif RM2,000 setiap seorang, berbanding RM1,000 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, peningkatan kadar insentif ini adalah sebagai menghargai komitmen dan usaha gigih para atlet yang telah bersungguh-sungguh berlatih dan berkorban untuk meningkatkan imej Negeri Pahang dan memajukan bidang sukan di negeri ini.
“Saya berharap para atlet SUKMA Pahang dapat mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam mengharungi saingan SUKMA Ke-21 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini dengan penuh keazaman dan kecekalan terutamanya dalam memburu pingat emas.
“Selamat berjuang kepada semua atlet SUKMA Pahang dan jadilah inspirasi kepada generasi muda negeri ini,” katanya.-PAHANGMEDIA

