Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 07 OGOS 2024 : Kerajaan Negeri diharap dapat memberi sokongan padu kepada usaha pemeliharaan habitat harimau di negara ini melalui penambahbaikan di peringkat dasar.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah penyelarasan di antara dasar negara dan Kerajaan Negeri juga perlu dilaksanakan.
“Terdapat keperluan untuk menambahbaik dasar sedia ada dan yang baharu, untuk dibangunkan, dilaksanakan, dan dikuatkuasakan. Contohnya bagi penggunaan tanah yang mampan adalah sangat penting bagi pemeliharaan habitat harimau.
“Di Malaysia, ia merupakan urusan Kerajaan Negeri yang mungkin perlu diselaraskan dengan dasar negara. Siapa yang memahami keseimbangan di antara keperluan pembangunan dan biodiversiti serta keperluan harimau ini?
“Ia merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian sekali lagi sebagai satu kumpulan kerana tiada satu pun organisasi atau agensi awam mahupun swasta dapat meyelesaikan perkara ini sendiri. Diharapkan kita dapat melaksanakan tindakan yang lebih banyak dan lebih pantas daripada di peringkat persekutuan dengan sokongan Kerajaan Negeri di mana Rizab Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah merupakan sebuah entiti yang diwartakan di bawah enakmen Kerajaan Negeri,” titah baginda.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bertitah demikian bersempena 2nd Pahang Tiger Summit di Hotel Zentih Cameron Highlands.
Baginda dalam titah turut menyeru kerjasama di antara agensi persekutuan bersama Rizab Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah bagi memastikan permerdagangan haram melibatkan hidupan liar dapat dihentikan.
“…usaha bersama agensi persekutuan seperti Jabatan Perhilitan boleh dilakukan oleh Rizab Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah. Ini kerana permerdagangan hidupan liar dan sindiket pemburuan haram rentas sempadan di peringkat antarabangsa juga merupakan isu yang membimbangkan.
“Asia Tenggara dan Asia Timur merupakan pembeli utama bagi permerdagangan haram ini. Bolehkan kita semua bekerjasama dengan lebih baik untuk menangani mereka? Jika menghapuskan mereka mustahil dilakukan, sekurangnya kita dapat menjatuhkan permerdagangan dan pernigaan mereka,” titah baginda.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam titah turut menawarkan diri baginda dan Rizab Harimau DiRaja Al-Sultan Abdullah sebagai platform kepada mana-mana pihak untuk berkongsi idea dan cara dalam memastikan habitat harimau dapat dipelihara dengan lebih baik. -PAHANGMEDIA

