PEKAN, 5 OGOS 2024: Pembangunan Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah sebagai usaha penjenamaan semula Kompleks Budaya Pulau Keladi yang ditubuhkan pada 1985 oleh Muzium Negeri Pahang bakal mencipta lembaran baharu terhadap seni tenun khususnya.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, ia turut akan menjadi destinasi tumpuan peminat kraf serta mengangkat dan memelihara warisan tenun negeri ini.
“Projek pembangunan yang diinspirasikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini juga merupakan platform terbaik untuk rakyat melihat dan mengenali cara pembuatan tenun.
“Tengku Ampuan Pahang telah berusaha dengat giatnya untuk memberi kesedaran kepada rakyat Pekan dan Pahang supaya kita harus bangga dengan tenunan dari Pekan itu sendiri.
“Lebih menarik lagi, daripada kenyataan ini adalah antara mereka yang sudah pun terlibat secara langsung di Pekan ini, dengan usaha Tengku Ampuan ia telah melibatkan banduan daripada Penor, Bentong supaya mereka dapat peluang hidup semula bila keluar daripada resort (penjara),” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli merasmikan Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi, semalam.

Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama adinda YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah ini turut menempatkan rumah kelahiran Tun Razak, Pusat Tenunan Sutera Pahang, Pusat Karyaneka, kawasan rekreasi dan permainan tradisional, Rumah Serambi Pahang Kampung Raja Songsang,Temerloh yang dibina pada 1902 dan dipindahkan ke sini.
Selain itu, perkampungan ini turut menempatkan sebuah pusat latihan iaitu Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar bagi melatih dan melahirkan lebih ramai penenun muda sejak tahun 2009.
Sementara itu Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar Pahang, Datuk Mohd Nizar Najib dalam ucapannya berkata Pulau Keladi merupakan perkampungan bersejarah khususnya dalam pengekalan warisan seni tenunan rakyat Pahang, Tenun Pahang Diraja.
“Kedatangan Tok Tuan Keraing Aji ke Pekan pada 1722 telah memperkayakan lagi aktiviti menenun di Pulau Keladi.
“Namun, di bawah usaha dan naungan Diraja daripada Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar Tunku Meriam dan seterusnya Tunku Azizah, legasi tenun Pahang Diraja berjaya dilestarikan dan mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa,” katanya.-PAHANGMEDIA

