Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 OGOS 2024 : Seramai 1,200 usahawan di Pahang terpilih menerima Skim I-PUSH Fasa 3 yang akan mula diagihkan kepada pemohon pada bulan ini.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, jumlah ini terus meningkat sejak ia diperkenalkan Kerajaan Pahang pada tahun 2021 bagi menggalakkan perrtumbuhan ekonomi menerusi sektor keusahawanan.
“Permohonan untuk I-PUSH fasa 1, 2 dan 3 ialah 5,177 permohonan, yang kita luluskan untuk fasa ketiga ini sahaja ialah 1,200 dan kita galakkan supaya orang datang lagi untuk temuduga dan memohon sebab kegagal permohonan juga tinggi sebab dari segi dokumen tidak ada, sebab itu mereka akan melalui macam PERNAS (Perbadanan Nasional Berhad) dan KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) banyak membantu membangunkan usahawan sekurang-kurangnya ada SSM dan penyata bank, ini perkara asas dalam berniaga, kalau tidak ada menda (dokumen) ini macam mana kami hendak bantu di Kerajaan Negeri.

“Kita menyeru usahawan perlu penuhi keperluan-keperluan asas untuk menjadikan sesuatu bukan sahaja francais malah I-PUSH menda yang sama, hendak pinjam mana-mana pun sekurang-kurangnya ada (dokumen) asas SSM dan penyata bank untuk memastikan usahawan itu betul-betul berniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program BizFrancais Pahang 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah pemangku Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi PERNAS, YM. Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor KUSKOP, YBrs Encik Chek Zainuddin Chek Jusoh dan ahli lembaga pengarah PERNAS.

Seramai 93 usahawan francais dari Pahang telah menerima pembiayaan berjumlah RM18 juta melalui Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) sejak tahun 2010.
Pada tahun 2024 pula, seramai lapan usahawan Pahang telah menerima pembiayaan berjumlah RM1.5 juta.
PERNAS juga telah membiayai seramai 212 usahawan Pantai Timur dengan peruntukan RM46 juta sejak tahun 2010.
Pahang merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah Program BizFrancais selepas Sarawak dan Pulau Pinang.
Antara usahawan terlibat ialah Sate Zul Recipe Sdn Bhd, Triple Thrust Sdn Bhd (Dapur Mama), Akie Group Sdn Bhd (Akie Burger) dan Nasi Ayam Papa Sdn Bhd. – PAHANGMEDIA

