Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 5 OGOS 2024 : Dua individu didenda RM200,000 selepas mengaku bersalah mengusahakan ternakan ikan dan mengusahakan dusun durian di atas tanah kerajaan di Sungai Kenong, Mukim Tras di Daerah Raub, hari ini.
Setelah meneliti hujahan-hujahan, Hakim Mahkamah Sesyen Raub, Noor Aisah Mohamed telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 setiap seorang kepada Tengku Mohd Mujahiddin Tengku Abu Bakar Sidik, 40, dan Mun Chee Kin, 64, dan jika gagal boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan.
Syarikat Mun Seng Multifish Aquaculture Sdn. Bhd tersebut adalah dimiliki oleh Tengku Mohd Mujahiddin bin Tengku Abu Bakar Sidik manakala Mun Chee Kin pula sebagai penyelia.
Mengikut kertas pertuduhan, Syarikat Mun Seng Multifish Aquaculture Sdn. Bhd telah menjalankan penternakan ikan di dalam 30 takungan kolam dan mengusahakan 300 pokok durian dan tidak mendapat sebarang kebenaran yang sah menduduki Tanah Kerajaan Negeri Pahang di Sungai Kenong, Mukim Tras di Raub.
Turut ditahan ialah enam individu lain yang merupakan pekerja warganegara asing dan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Ruan di Raub dan siasatan mendapati kesemua pekerja tersebut diupah oleh dua OKT terbabit untuk melakukan kerja-kerja menjaga dusun durian dan kolam ternakan ikan di lokasi serbuan.
Anggota serbuan juga telah menyita dua buah Toyota Hilux sebuah Ford Ranger, sebuah jentolak, sebuah motorsikal Honda Wave, empat buah motorsikal Honda EX5, sebuah motorsikal SYM ESR dan 11 ekshibit yang dirampas telah dilucuthakkan kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Kesalahan berkenaan dilakukan pada 8 Mei 2024 kira-kira 9.40 pagi di mana serbuan telah dilakukan di Sungai Kenong, Mukim Tras, Raub oleh Pegawai Penguatkuasa, Mohamad Fairuz Abdul Rahman dan Pegawai Serbuan, Muhammad Hanif Mohd Dee.
Pendakwaan Dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Muhammad Najmi Zaki Bin Amer Suhaimi dari Unit Penguatkuasaan Pejabat Tanah & Galian Pahang.
Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang, Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi manakala dua OKT diwakili Tan Chee Yuen daripada daripada Chee Yuen & Co.-PAHANGMEDIA

