Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 OGOS 2024 : Cuaca panas ekstrim yang melanda negara ketika ini tidak menjejaskan sektor pertanian di Negeri Pahang.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, sehingga kini aktiviti bagi sektor pertanian berjalan baik memandangkan pembekalan air di negeri itu masih berada dalam keadaan baik.

“Pahang setakat ini tiada (pertanian terjejas) sebab apa, walaupun cuaca panas namun belum ada ke tahap sampai kita menghadapi masalah, kita punya empangan, bekalan air masih lagi berada di paras (terkawal),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Pahang merasmikan Pahang Agrofest 2024 di Dewan Utama Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan, hari ini.
Pahang Agrofest 2024 yang berlangsung selama dua hari ini turut membawakan 60 organisasi dari bidang agri-komoditi dengan mengumpulkan 500 penggiat industri dalam pelbagai kepakaran melalui seminar yang diadakan.

Di samping itu, pameran terbesar di Pantai Timur ini juga menyediakan 95 pameran dan gerai dengan pelbagai latar belakang membabitkan badan kerajaan, pembekal jentera dan input pertanian, pengusaha ladang dan pembekal automotif.
Turut diadakan ialah seminar, penjualan makanan dan hasil pertanian serta penganjuran pertandingan kepada pengunjung.
Tambah YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi, katanya, Pahang masih belum mempunyai sebarang keperluan untuk melakukan pembenihan awan memandangkan aktiviti sektor pertanian di negeri ini masih terkawal.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Pahang juga berusaha untuk mengoptimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan sektor penghasilan pertanian menerusi penggunaan teknologi yang betul menerusi pelbagai sektor.
“Jadi pendekatan yang perlu kita ambil adalah menggunakan pendekatan teknologi dan ini tidak salah kerana telah pun terbukti macam saya kata tadi di Belanda dan mengoptimakan (tanah) inilah sebenarnya kita kena libatkan (pelbagai sektor) walaupun bukan dari sektor pertanian,” katanya.
Jelasnya, terdapat teknologi dari sektor lain yang dapat ditransformasikan untuk dimanfaatkan dan digunakan bagi membangunkan bidang pertanian secara optimum. – PAHANGMEDIA

