Oleh: Nurul Amylea Maisarah Abdul Halim
Foto: Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUANTAN, 25 JULAI 2024 : Institusi penjara bukan sekadar tempat memberi hukuman kepada pesalah tetapi merupakan tempat di mana mereka dididik agar memberikan keinsafan dan kebaikan kepada mereka.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, peranan institusi penjara adalah penting dalam memastikan keseimbangan perundangan di dalam negara selain mendidik pelaku jenayah untuk berubah ke arah yang lebih baik.
“Penjara bukan sekadar tempat hukuman, tetapi juga tempat pembaikan. Di penjara, penghuni diberikan pendidikan dan kemahiran untuk persediaan mereka apabila dibebaskan kelak. Ini adalah satu peranan penting penjara dalam masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Pendidikan dan Kebajikan Persatuan Pegawai Penjara Malaysia di Grand Darul Makmur Hotel, Kuantan.

Seminar Kebajikan dan Pendidikan Persatuan Pegawai Penjara Malaysia (POA) itu membincangkan isu kebajikan dan pendidikan bagi manfaat ahli-ahlinya.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sabariah turut menekankan bahawa pendidikan dan latihan kemahiran yang diberikan di penjara adalah untuk memastikan bekas penghuni dapat kembali kepada masyarakat sebagai individu yang lebih baik dan produktif.
Beliau juga menyatakan bahawa penjara memainkan peranan kritikal dalam memastikan keadaan negeri yang lebih baik dan harmoni.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada anak-anak pegawai dan kakitangan penjara yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2024 sebagai pengiktirafan atas usaha dan kecemerlangan mereka. -PAHANGMEDIA

