Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 JULAI 2024 : Seminar Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) Bersama Agensi-Agensi Penguatkuasaan Negeri Pahang dilihat dapat mengukuhkan jalinan kerjasama di antara semua agensi di Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata kerjasama ini penting untuk pelaksanaan penyiasatan yang lebih berkesan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98) dan akta-akta lain yang berkaitan.

“Bagi pihak Kerajaan negeri Pahang, sememangnya kerjasama seperti ini perlu digiatkan yang turut melibatkan agensi penguatkuasaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pastinya memerlukan bantuan MCMC dalam usaha membanteras premis judi haram yang menggunakan internet atau mengesan nombor telefon iklan peminjam wang haram di kawasan pentadbiran PBT masing-masing.
“Kerjasama yang terjalin ini adalah penting untuk pelaksanaan penyiasatan yang lebih berkesan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM98) dan akta-akta lain yang berkaitan. Ianya diharap akan dapat membanteras segala bentuk salah laku dan jenayah yang berlaku di alam siber seperti scam, penyebaran berita palsu, kandungan lucah dan jelik, buli siber, dan lain-lain lagi.
“Kebanyakan bantuan teknikal yang diberikan oleh MCMC adalah melibatkan kes-kes yang disiasat di bawah Kanun Keseksaan bagi kes jenayah, Akta Jenayah Komputer bagi kes penipuan melalui email dan nombor telefon, Akta Kastam bagi mengesan pemilik nombor telefon dan undang-undang kecil PBT berkaitan iklan pinjaman wang haram/tidak berlesen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar MCMC Bersama Agensi-Agensi Penguatkuasaan Negeri Pahang di Swiss-Bell Hotel hari ini yang turut dihadiri Pengarah Negeri, MCMC Pejabat Negeri Pahang, YBhg. Encik Shahrizal Husin.
Menurut beliau seminar yang julung kali diadakan ini merupakan satu platform yang baik untuk memberi kefahaman dan penjelasan kepada agensi penguatkuasa undang-undang yang terlibat. -PAHANGMEDIA

