Oleh : Nurin Nadhirah Muhammad Haisam
KUANTAN, 24 JULAI 2024 : “Alhamdulillah, saya terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap Felda,” ujar Encik Abd Ghani Wahab yang merupakan salah seorang penerima sumbangan cek Kerajaan Negeri Pahang kepada pemimpin Felda Pahang.
Encik Abd Ghani, ketua peneroka Wilayah Mempaga melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pahang bagi memastikan pentadbiran di wilayah Felda dapat berjalan dengan lancar.

“Kami, masyarakat Felda daripada wilayah Mempaga menyanjung tinggi penghargaan YAB. Menteri Besar hulurkan. Terima kasih yang tidak terhingga atas peruntukan yang diberikan.
“Sumbangan yang diberikan akan diguna pakai dengan baik bagi mengadakan bengkel kesedaran di kalangan anak muda terhadap pengorbanan dan kesusahan ibu bapa dan Kerajaan Negeri Pahang untuk membangunkan Felda,” katanya.
Sementara itu, bagi YH. Dato’ Safariah Awang Ngah yang merupakan pengerusi Gerakan Peneroka Wanita (GPW) Wilayah Kuantan daripada Felda Bukit Sagu Satu berkata, sumbangan cek ini dapat memudahkan pengurusan dana untuk mengadakan program di lapangan.

“Kami berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana sangat prihatin terhadap masyarakat di Felda.
“Sumbangan yang diberikan dapat menambah lagi pelbagai bentuk program yang dapat dijalankan seperti kursus dan bengkel kepimpinan untuk menambah lebih banyak pemimpin di kalangan anak Felda,” katanya.
Manakala menurut Encik Arifin Abdul Wahab yang merupakan ketua peneroka wilayah Jengka, beliau melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pahang.

“Kami akan manfaatkan dana yang diberikan supaya dapat memberi impak yang besar kepada komuniti Felda di Jengka. Pelbagai aktiviti dan majlis keramaian boleh disambut dengan lebih meriah lagi,” katanya.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada setiap rancangan dan badan kepimpinan Felda di negeri ini bagi urusan pengurusan dan pentadbiran.
Sebanyak RM240,000 telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pahang yang disampaikan oleh Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

