Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 JULAI 2024 : Kerajaan Negeri Pahang menyumbangkan RM240,000 kepada 12 badan kepimpinan Felda di negeri ini bagi pelaksanaan urusan pentadbiran.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata peruntukan geran pentadbiran dan pengurusan bernilai RM20,000 ini telah diumumkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang pada 2 Jun lepas.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di atas sumbangan Kerajaan Negeri Pahang pada keseluruhan jawatankuasa untuk Felda iaitu wilayah-wilayah Negeri Pahang iaitu wilayah Kuantan, Jengka, dan Mempaga.

“Dan bahawasanya peruntukan ini diberikan kepada pentadbiran terutamanya kepada JKKR (Jawatankuasa Kemajuan Kerja Rancangan) setiap wilayah dan juga kepada GPW (Gerakan Persatuan Wanita) setiap wilayah juga kepada dua NGO iaitu bersama dengan KAF (Kami Anak Felda) dan juga MBFM (Majlis Belia Felda Malaysia).
“Setiap mereka menerima sebanyak RM20,000 untuk geran pentadbiran dan dapatlah melaksanakan beberapa aktiviti-aktiviti pentadbiran. Ini (peruntukan) adalah untuk mereka laksanakan bagi impak kepada peneroka dan juga anak-anak peneroka di luar sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada Kepimpinan Rancangan Felda Negeri Pahang sempena Karnival Segalanya Felda di Jengka pada 2 Jun di Wisma Sri Pahang.
Beliau turut berharap inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada rancangan Felda ini dapat melancarkan pengurusan serta pentadbiran Felda di negeri ini.
“Jadi saya mengharapkan dengan apa yang diberikan oleh Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar bahawa ini adalah sebagai inisiatif, sebagai tanda ingatan, YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang kepada seluruh warga peneroka dan juga Felda, untuk membantu mereka menguruskan pentadbiran-pentadbiran yang telah diutarakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

